Novel Review ~ Gegar Hati Bang Gazza

 

             Tajuk : Gegar Hati Bang Gazza
Penulis : Liz Haliza
Terbitan : Karya Seni


Sinopsis Dari Novel ~~


"Amna bukan disleksia. Dia keturunan mama, keturunan Ghaz dan Gina. Keturunan bijak pandai -PUAN SYATILLA


Gazza buntu. Bagaimana lagi dia harus terangkan kepada ibunya tentang keadaan Amna, si anak buah yang menderita disleksia? Penderita disleksia bukan orang bodoh malah ada di antara mereka lebih bijak daripada orang biasa. Walau dicuba sehabis daya tetapi ibunya tetap tidak mahu menerima hakikat itu. Risau dipandang rendah oleh masyarakat kerana mereka daripada golongan keluarga terpelajar. Itu yang dirisaukannya, bukan risaukan Amna. Sesak dada Gazza memikirkan tentang hal itu.


Dalam keadaan risau yang membelenggu diri, Gazza tetap menjalankan tugasnya sebagai seorang doktor dengan caranya tersendiri. Gila-gila dan sukakan muzik.


Bahkan sewaktu merawat pesakit pun dia mendengar muzik.


"Nak lagu apa?"


"Haaa.."


"Saya suruh pilih logu. Nak lagu apa? Lagu Anuar Zain ada. Lagu Dayang Nurfaizah pun ada. Cepat cakap nak lagu apa?"


"Doktor ada lagu Sepohon Kayu tak?"


Itu pertemuan pertama Nafisa dengan Gazza. Tak betul, aneh dan pelik. Itu yang dirasakan Nafisa kepada doktor yang sedang merawat untuk membuang tahi lalat yang sakit di pipinya. Tapi, doktor itu baik. Baik pada pandangan Nafisa sewaktu Gazza menghantar Amna ke sekolah khas untuk kanak-kanak disleksia, tempat dia bekerja.


Sifat melindungi dan penyayang yang tinggi dalam diri Gazza kepada Amna menarik minat Nafisa untuk mengenali lelaki itu. Dalam tidak sedar, dia bersetuju untuk menjadi guru peribadi Amna bagi kelas tambahan di rumah Puan Syatilla. Dan tiba-tiba... Perasaan cinta menjentik tangkai hatinya kepada Gazza.


"Rasa-rasa nak pindah ke mana yang boleh buat doktor rasa gembira?" -NAFISA 


"Nak berpindah ke dalam hati awak. Agak-agak ada ruang kosong tak?"-GAZZA


Namun, ketika dua hati mulai bertaut, kisah silam Nafisa terbongkar. Dia diherdik dan dihina semacam tidak punya harga diri. Maruahnya dipijak-pijak oleh orang yang tidak selayaknya menghukum tanpa usul.


"Dia sendiri bodoh tetapi ada hati mahu mengajar cucu aku. Tak guna punya budak. Orang asing memang langsung tidak boleh dipercayai. Tidak pernah ikhlas dan hanya mahu mengambil kesempatan." -PUAN SYATILLA


Apakah yang perlu Nafisa lakukan? Golongan sepertinya tidak layak untuk berada bersama golongan terpelajar seperti Puan Syatilla dan Gazza walaupun kini dia sudah berjaya? Disleksia, apa sebenarnya salahmu?



      🪻🪻🪻🪻🪻🪻🪻🪻🪻🪻🪻


🍏 Sekali tengok tajuk novel ni macam nak bunyi 'Gegar Vaganza' kan. Antara novel yang aku repeat baca bukan sekadar sekali khatam terus jadi pameran dalam almari hehehe. 


Gegar Hati Bang Gazza bukan sekadar kisah cinta biasa. Ia sebuah cerita penuh emosi yang menyentuh isu-isu penting seperti penerimaan diri, stigma masyarakat, dan bagaimana seseorang mendepani cabaran kehidupan.


Kisah ini membawa kita menyelami kehidupan Gazza, seorang doktor muda yang bukan sahaja ‘cool’ dengan caranya tersendiri tetapi juga memiliki hati yang penyayang. Fokus utama cerita ini ialah disleksia – cabaran yang dihadapi oleh Amna, anak buah Gazza. Melalui karakter Amna, kita diajak memahami bahawa disleksia bukanlah kelemahan, tetapi sebahagian daripada perjalanan unik seseorang.


Konflik bermula apabila Puan Syatilla, ibu Gazza, enggan menerima hakikat tentang keadaan Amna kerana bimbang akan persepsi masyarakat terhadap keluarga mereka yang digambarkan sebagai "golongan bijak pandai." Dalam masa yang sama, kita diperkenalkan kepada Nafisa, seorang guru pendidikan khas yang bukan sahaja menjadi penawar kepada Amna tetapi juga pelengkap hati Gazza. Namun, tidak semua berjalan lancar – kisah silam Nafisa mencetuskan ketegangan apabila dia dihina dan direndahkan kerana statusnya. Nak tahu kena baca sendiri. Kat Shopee ada lagi rasanya novel ni. 


Gazza adalah watak yang menghidupkan novel ini. Dengan personaliti gila-gila dan muzik yang menjadi teman setianya, dia bukan sahaja doktor tetapi juga pelindung bagi Amna. Kehadiran Nafisa pula memberikan keseimbangan. Dia seorang wanita yang tabah dan berani menghadapi penghinaan. Puan Syatilla, walaupun tegas dan kelihatan sombong, mencerminkan realiti sesetengah masyarakat yang terlalu mementingkan status hingga lupa nilai kemanusiaan.



Pengajaran dari novel ni ~~


Penerimaan diri dan orang lain

Disleksia bukanlah kekurangan. Sebaliknya, ia adalah cabaran yang menjadikan seseorang itu lebih istimewa. Novel ini mengajar kita untuk menghargai keunikan orang lain tanpa prejudis. Keluarga sangat penting sebagai sistem sokongan. Gazza menunjukkan bagaimana kasih sayang dan sokongan keluarga boleh memberi impak besar dalam kehidupan seseorang, khususnya Amna.


Selain itu isu disleksia diangkat dengan begitu baik dalam novel ini, kita sebagai pembaca secara tak langsung dapat ilmu berguna kan.Bagus kalau diadaptasi ke drama tv novel ni. Sebab ianya bukan hanya tentang cinta, tetapi juga tentang mendidik masyarakat. Dalam masa yang sama ada babak humor juga. Tak laa boring membacanya. 










No comments

All the information on this website is published in good faith and for general information purpose only. [https://faizzahamir.blogspot.com/] does not make any warranties about the completeness, reliability and accuracy of this information.

Thank You.